Sering ditawarkan watak ‘hitam’, pelakon Zalfa Zin mengaku enggan terlalu selesa berlakon dengan watak sama.

Zalfa ketika ditemui Xtra memberitahu dia sentiasa terbuka menerima watak selain menjadi wanita jahat di dalam sesebuah drama atau filem.

“Tujuh tahun saya berlakon banyak watak jahat yang diberikan kepada saya. Mungkin juga kerana wajah saya nampak macam sombong walhal tidak. 

“Sebenarnya saya seorang yang suka berborak. Saya tidak kisah melakonkan watak ibu atau kakak yang baik cuma peluang itu jarang datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zalfa memberitahu dia baru sahaja selesai penggambaran drama Bukan Gadis Biasa yang bakal ditayangkan pada Ramadan nanti untuk slot Samarinda TV3.

“Dalam drama itu, saya berlakon sebagai penagih dadah yang mempunyai dua orang anak. Disebabkan terlalu ikut perasaan dengan nafsu terhadap dadah, saya tergamak menjual anak-anak,” katanya.

Sementara itu, pelakon berusia 27 tahun ini berharap dapat diberi peluang mencuba watak berbeza dari sebelum ini.