Jarang dikaitkan dengan mana-mana heroin dalam drama lakonannya, pelakon Ungku Ismail ternyata mempunyai ‘tips’ tersendiri.

Katanya ketika ditemui di sidang media Semarak Pertiwiku, dia mengaku selesa untuk tidak memuatnaik gambar bersama heroin di Instagramnya.

“Bukan tidak mahu muatnaik. Ada cuma tidak terlalu kerap kerana dari situ netizen akan mula membuat spekulasi.

“Saya juga mengambil langkah tidak follow terlalu ramai rakan selebriti baik di kalangan lelaki atau wanita. Saya akui tidak terlalu rapat dengan rakan-rakan di kalangan selebriti malah lebih ramai kawan rapat di kalangan orang biasa.

“Bukan memilih tetapi saya selesa begini,” katanya kepada Xtra.

Sementara itu, pelakon Adellea Sofea ini gembira apabila gandingannya bersama pelakon Mira Filzah ‘menjadi’ dalam masa sama bersyukur mereka tidak digosipkan bersama.

“Semua orang tahu Mira sudah berpunya dan hal ini telah diakui olehnya. Ramai yang datang kepada saya dan bertanya mengenai kekasihnya. Secara jujur, saya langsung tidak tahu dan kalau boleh tidak mahu ambil tahu mengenai hal peribadi Mira.

“Sebagai rakan, saya doakan yang terbaik untuk Mira. Mengenai gandingan kami di dalam drama itu, saya bersyukur ramai yang menerima baik lakonan kami berdua dan lebih menarik, nama kami tidak digosipkan. Saya gembira dapat bekerja dengan Mira malah saya sudah anggap dia seperti adik ,” kata lelaki berusia 35 tahun ini.

Jangan lupa tonton drama Adellea Sofea lakonan Ungku Ismail dan Mira Filzah pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7 malam.

Oleh: Fas