Meskipun berdepan dengan pelbagai kisah kontroversi, pelakon Fathia Latiff tidak pernah putus asa untuk terus mencuba nasib sebagai anak seni.

Selepas sekian lama bergelar pelakon, kini Fathia mencuba untuk bergelar penyanyi pula.

“Saya masih teringat ketika arwah datuk masih ada dia selalu menyanyi untuk saya.

“Sejak dulu lagi saya memasang impian untuk menjadi penyanyi. Kalau saya ke acara santai pasti saya akan menyanyi untuk suka-suka,” katanya yang kehilangan datuk tersayang tiga tahun lalu.

Tampil dengan single berjudul Jika Aku Tahu hasil ciptaannya sendiri, Fathia berharap percubaan pertamanya ini diterima baik peminat.

“Kalau diterima baik saya akan teruskan jadi penyanyi. Sebagai permulaan saya belajar vokal dengan cikgu Bob Yusof (AF),” katanya.

Ditanya alasan dia memotong rambut pendek untuk melariskan lagu, Fathia menafikan hal itu.

“Sempena tahun baharu saya mahu sesuatu yang fresh. Bukan sebab tertekan atau gimik lariskan lagu,” akuinya selesa dengan imej rambut pendek.

Oleh: Fas