Vokalis Bunkface, Shamsul Anuar Mohd Baharom atau lebih dikenali sebagai Sam Bunkface mengatakan walaupun telah bercerai dengan bekas isterinya, Aida Azira Husin Januari lalu, hidup masih diteruskan seperti biasa. 

Sepuluh bulan menduda tidak menutup pintu hati Sam untuk jatuh cinta satu hari nanti dengan pasangan yang sesuai, namun kali ini dia tidak mahu terburu-buru. 

Menurut laporan BH Online, Sam kini sedang dalam fasa mengenali hati budi seseorang. 

”Saya memang sedang berkawan dengan seseorang dan hubungan kami masih dalam peringkat mengenali hati budi. Kali ini, saya tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan.

”Kalau ada jodoh, saya mencari seseorang yang memahami, mempunyai hati yang baik dan lemah lembut.  Dalam melayari sebuah perhubungan, sabar kena ada,” kata penyanyi yang berusia 31 tahun ini. 

”Alhamdullillah, setakat ini, saya boleh menyesuaikan diri.  Hubungan dengan bekas isteri juga tiada masalah kerana keutamaan kami adalah anak, Maleeq yang sedang membesar, katanya lagi.

Percaya pasti ada hikmah di sebalik penceraiannya itu, abang kepada pelakon Siti Saleha ini  berkata dia kini menetap di Klang, Selangor untuk menjaga ayah yang berusia 70 tahun.

Sam juga bersyukur kerana hidupnya masih teratur walaupun tanpa isteri di sisi dan dia mampu menguruskan hidupnya dari setiap aspek tanpa tekanan. 

Sumber foto: Instagram @sambunkface