Dalam diam, rupanya pengacara Indonesia, Sule dilaporkan bakal berkahwin tahun ini.

Namun begitu, hasratnya terpaksa ditangguh lantaran kematian bekas isterinya, Lina Zubaedah pada Sabtu (4/1/2020) lalu.

Berita ini disampaikan oleh peguamnya, Dose Hudaya.

“Sule sepatutnya bertunang pada Januari tahun ini dan bernikah pada bulan berikutnya.

“Rancangan terpaksa ditangguh ke tarikh lain bagi menghormati situasi yang mana perhatian perlu diberi kepada anak-anak berikutan baru sahaja kehilangan ibu,” katanya kepada Tribun Seleb.

Enggan tergesa, bapa empat anak ini dijadualkan bernikah pada April depan.

“Sepatutnya bernikah pada 22 Februari tetapi akan dipindah ke tarikh lain.

“Segala dokumen persediaan sebelum bernikah sudah lengkap. Cuma mereka masih belum mendaftar di pejabat urusan Agama setempat,” katanya.

Berkongsi mengenai calon isteri Sule, Dose memberitahu wanita itu bukan dari kalangan selebriti.

“Bukan artis. Mereka tidak berkawan lama cuma ada prinsip yang sama untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Sule pernah berkahwin dengan Allahyarhamah Lina Zubaedah namun bercerai selepas 21 tahun hidup bersama.