Suami pelakon Bella Dally, Arif Izuddin dimasukkan ke pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas terkena jangkitan Influenza awal pagi, hari ini.

Bella atau nama penuhnya Nabilah Ali Dally berkata, suaminya mungkin terkena jangkitan itu selepas menemaninya ke hospital, baru-baru ini.

“Saya syak dia dijangkiti selepas ke hospital temankan saya yang kurang sihat disebabkan selesema dan batuk tapi bukan Influenza. Keesokan harinya, dia pula jatuh sakit.

“Akhirnya awal pagi tadi dia terpaksa ditahan di hospital untuk kuarantin. Menurut doktor, dia perlu ditahan selama seminggu untuk pemeriksaan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon drama Adellea Sofea itu, suaminya stabil namun masih perlu pemantauan doktor.

“Dia masih lagi mengalami demam panas sehingga sekarang. Suhu badannya juga agak tinggi dan perlu pemerhatian doktor sehingga pulih,” katanya.

Terdahulu, Bella memuat naik di Instagram Story foto dia menemani Arif ke hospital dan memaklumkan suaminya terkena jangkitan Influenza.

Bella dan Arif yang juga ahli perniagaan mendirikan rumah tangga pada 31 Mac tahun lalu. Mereka belum dikurniakan cahaya mata.