Pelakon yang memang terkenal dengan imej berkumis, Syafiq Kyle baru-baru ini telah mencukur misainya bagi menjayakan watak lelaki lembut.

Watak yang dibawa oleh Syafiq adalah sebagai Shiba, seorang peguam yang berkarekter lembut dalam telefilem berjudul Shiba Shiba Doo yang sedang dalam penggambaran. 

“Bagi watak Shiba, wajah saya perlu nampak bersih supaya terserlah kecomelan karekter berkenaan.  Justeru, saya kena cukur misai. 

“Saya menerima tawaran melakonkan watak itu pun kerana skripnya yang bagus.  Memegang watak lelaki lembut juga menjadi pengalaman baharu buat saya.  Lagipun, watak sebegini semakin diterima ramai dalam masyarakat kita.  

“Saya juga berani membawakan watak berkenaan kerana ia memberikan cabaran berbeza.  Apatah lagi, ramai peminat yang mahu melihat saya membawakan watak berlainan, jadi saya rasa karekter terbabit sangat sesuai,” katanya kepada BH Online.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak memberitahu dia kini sedang membuat kajian bagi karekternya nanti dengan memerhatikan gaya dan cara percakapan seorang individu yang amat dikenali sebagai sumber inspirasinya. 

Wah, tak sabar pula nak tengok macam mana Syafiq Kyle berlakon sebagai lelaki lembut! Dari segi kecomelan tu memang tak boleh dinafikan lagi, Syafiq memang ‘jambu’!