Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tampil mempersembahkan sebuah teater berjudul Semarak PertiwiKu yang mengangkat integriti sebagai subjek utama.

Semarak PertiwiKu merupakan sumbangan SPRM kepada rakyat Malaysia yang cintakan kehidupan yang bersih dan bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Yang Berusaha Puan Latheefa Koya dengan rasa penuh teruja mengumumkan teater tersebut bakal dipersembahkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada hujung bulan Januari apabila ia mendapat sambutan hangat sewaktu pementasannya pada Julai 2019 lalu di Kuching, Sarawak.

Teater tersebut akan dipentaskan di dalam dialek Melayu Sarawak kerana ingin mengekalkan keaslian persembahan dan juga kerana mesejnya yang kuat. 

“Mendekati masyarakat melalui seni telah lama SPRM Iaksanakan. Sebelum ini pada Oktober 2017, SPRM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Aswara telah mementaskan naskhah bertajuk “Bahara Emas”.

“Melaluinya, mesej disampaikan kepada penonton tentang bahana ketamakan yang membawa kepada rasuah dan keruntuhan sebuah kerajaan.

“Begitu juga dengan Semarak PertiwiKu, pengisiannya akan membawa aspirasi kepada setiap anggota masyarakat termasuk penjawat awam supaya berintegriti tinggi. Saya yakin ia juga mampu menyemai semangat patriotisme selain mewujudkan kehidupan yang maju, aman dan sejahtera,” ucap Latheefa Koya.

Mengisahkan kerakusan sebahagian kontraktor mengejar habuan untuk mengumpul kekayaan sehingga tercetus skandal rasuah di sebalik rahsia perolehan sebuah projek mega, kisah yang ditonjolkan di dalam teater Semarak PertiwiKu bukanlah sesuatu yang asing, malah sering kita dengar sehingga masyarakat naik jelek dengan perlakuan keji seperti ini. 

Disutradarai oleh Muhammad Azri Ali, bersama Pengarah Projek, Abdul Walid Ali, Pengarah Artistik, Muhammad Qawiem Bin Hamizan dan Pengarah Muzik, Iran Musodiq, persembahan teater ini juga menggunakan khidmat pelakon berkaliber dalam menyampaikan mesej penting yang cuba disalurkan dalam medium hiburan.

Aktor berprolifik tinggi, Ungku Ismail diberi tanggungjawab besar bersama dramatis Sherie Merlis dalam menggerakkan Semarak PertiwiKu bersama barisan pelakon lain termasuk Anding dan Taufik Hanafi.

“Semarak PertiwiKu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membanteras gejala rasuah. Ia juga adalah sebuah teater yang bertemakan integriti dan sebuah usaha cukup baik untuk mendidik masyarakat tentang rasuah khususnya dalam kalangan penjawat awam,” kata Pengarahnya, Muhammad Azri Ali.

Semarak PertiwiKu akan dipentaskan selama dua (2) hari bermula 30 hingga 31 Januari ini di Panggung Sari, Istana Budaya dan masuk adalah percuma!

Kredit Foto: Fas