“Alhamdulillah, syukur kerana meminjamkan Allahyarham Mohd Firdaus Hj Mohd Hanif kepada saya, ibunya ya Allah,” tulis pelakon terkenal, Fauziah Nawi mengenai arwah anaknya, Allahyarham Pitt Hanif.

Memetik tulis Fauziah di Instagramnya, beliau reda dengan pemergian anak kesayangannya pada Sabtu lalu.

“Hari ini hari kelima Pitt Hanif tinggalkan mama. Pitt anak yang baik, tak pernah meninggikan suara dan mempertahankan diri Pitt biar apa pun mama cakap.

“Mama reda Pitt. Cuma satu mama nak cakap, Pitt memang berpakat dengan arwah baba tinggalkan mama. Tak apa Pitt, mama reda,” katanya.

Allahyarham Pitt atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Hj Mohd Hanif dilaporkan lemas apabila bot dinaiki terbelah dua selepas melanggar tiang besi di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang, Sabtu lalu. 

Dalam kejadian itu, seorang lagi rakan arwah, Sham Mokhtar selamat dalam insiden berkenaan. 

 

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat Pitt jam 4.25 petang, Ahad lalu kira-kira 500 meter dari lokasi dia terjatuh.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, Kuala Lumpur.