Kehilangan pelawak tanah air, Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan atau Abam Bocey semestinya telah meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja buat keluarga dan anggota Kumpulan Bocey, malahan peminat mereka dan rakyat Malaysia sendiri.

Terbaharu, Achey menerusi laman Instagram miliknya berkongsi sebuah video sebuah lagu istimewa buat Abam.  Penghasilan lagu tersebut berlaku secara tidak sengaja dan mereka akan berkolaborasi bersama penyanyi dan komposer Ippo Hafiz.

 

 

Bukan Atas Dasar Suka-Suka

Kata Achey, lagu yang dihasilkan ini bukanlah sekadar suka-suka, namun kutipan yang diperoleh akan dibahagikan untuk sumbangan kepada pusat tahfiz dan ceramah agama.

“Lagu ini dihasilkan bukan atas dasar suka-suka, sebaliknya ada bahagian arwah untuk setiap kutipan yang diperoleh. Jika lagu ini mendapat tontonan dan jumlah pendengar tinggi, kami akan mengagihkan bahagian arwah kepada projek yang pernah diusahakan, antaranya menyalurkan ke pusat tahfiz yang dibantu arwah.

“Selain itu, hasil lagu ini akan digunakan membantu penceramah agama menganjurkan ceramah dan bersedekah. Pendapatan karya ini juga akan digunakan untuk membantu waris arwah seperti anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, isteri dan ibu arwah,” katanya.

 

 

Idea Bermula Apabila Ippo Hafiz Komen di Instagram

Tambah Achey lagi, lontaran idea untuk mencipta lagu bermula daripada komen yang ditinggalkan oleh Ippo Hafiz di Instagram sejak pemergian arwah.

“Komen yang ditinggalkan Ippo ternyata mendapat perhatian pengikut Instagram. Ramai peminat arwah, saya, Fad mahupun Ippo meminta kami menghasilkan lagu untuk arwah. Ippo pula mengatakan akan usahakan. Jadi, dari situlah bermula sesi pertukaran pendapat dan lontaran idea,” katanya.

Walau bagaimanapun, tajuk lagu tersebut dikatakan masih dalam perbincangan. Sama-samalah kita doakan semoga urusan sahabat arwah Abam ini dipermudahkan.