Siapa sangka wabak Coronavirus dan makanan tempatan iaitu Ikan Singgang menjadi perdebatan hangat  antara netizen di laman Twitter? Kedengaran agak melucukan dan tidak masuk akal namun itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat di media sosial hari ini. 

Segalanya bermula apabila seorang pensyarah dari UTM dipercayai mengeluarkan kenyataan yang seolah olah memberi maksud bahawa Ikan Singgang berpotensi menjadi penawar wabak yang semakin tular iaitu Coronavirus. Biar betul!

Kenyataan itu telah mendapat pelbagai respons daripada netizen dan salah seorang daripadanya adalah Dr Rafidah Abdullah. Umum mengetahui Dr Rafidah Abdullah merupakan pakar Nefrologi yang sering bersuara lantang dan menentang keras sebarang mitos yang tidak benar mengenai jenis-jenis penyakit dan kesihatan di laman Twitter.

Baru-baru ini ketika sidang media mengenai Coronavirus dilakukan, Dr Rafidah Abdullah telah memberi kritikan keras kepada salah seorang wartawan kerana bertanyakan mengenai kes Ikan Singgang dan Coronavirus.

‘Bila media kita nak matang?’- Dr Rafidah Abdullah

Dr Rafidah mempertikaikan mengenai kredibiliti wartawan yang dianggap bertanyakan soalan yang kurang ‘cerdik’, malah beliau turut menyelar semua pengamal media yang lain dengan kenyataan berbunyi ‘bila media kita nak matang’? 

Kenapa perlu tanya pasal singgang di sidang media Ketua Pengarah Kesihatan tentang COVID19?

Patutnya soalan macam ini, wartawan sendiri dah tahu jawapan kalau mampu menggunakan akal fikiran. Tidak perlu tanya. Bila lah media kita nak matang.

STICK TO THE FACTS.

Berikutan isu ini, ramai yang bersuara dan menentang tindakan Dr Rafidah menegur wartawan tersebut. Majoriti netizen berpendapat sudah menjadi lumrah dan profession seorang wartawan untuk bertanyakan soalan dan sebagai doktor beliau tidak seharusnya mengukur tahap kebijaksanaan seseorang berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan.

Dengan siapa lagi perlu rujuk untuk mendapatkan kesahihan kalau bukan daripada pakar?

Tidak menunggu lama, wartawan yang dikenali dengan nama Ali Toupan yang dipercayai bertanyakan soalan tersebut telah tampil bersuara dan memberi justifikasi mengenai soalannya menerusi laman Twitter.

Katanya, penting untuk seorang wartawan merujuk mengenai sesuatu perkara daripada orang yang selayaknya dan mempunyai autoriti terutama apabila melibatkan sesuatu isu yang berkait rapat.

Tidak ada salah untuk bertanya, media dan doktor saling melengkapi memberi informasi- Dr Amalina 

Perkara ini akhirnya mendapat perhatian daripada Doktor Pakar iaitu Dr Amalina Che Bakri. Menerusi laman Twitternya, Dr Amalina mengucapkan terima kasih kepada pihak wartawan yang bertanyakan soalan malah Dr Amalina turut menegaskan media dan doktor saling melengkapi untuk memberi informasi berkaitan kesihatan kepada masyarakat. 

Kenyataan yang dikemukakan Dr Amalina itu sememangnya benar. Pihak media dan doktor saling melengkapi dalam memberi informasi khususnya. Tidak perlu untuk berdebat dan berperang mulut antara satu sama lain. Yang penting, sama-samalah kita jaga kebersihan diri daripada wabak Coronavirus. Mencegah kan lebih baik daripada merawat 😉

Sumber: Twitter