Ribut tropika Tino yang kini menghampiri kawasan Tonga semakin memuncak dan mencapai kategori tiga, sekali gus menyebabkan 3,000 orang terpaksa mencari tempat berlindung, manakala dua dilaporkan hilang.

Perkhidmatan Meteorologi Fiji menjelaskan kelajuan angin dihasilkan ribut tropika itu sudah menjangkau 180 kilometer sejam (kmj) dan dijangka mencetuskan kemusnahan berskala besar apabila membadai bahagian utara Tonga.

Di Fiji, Pejabat Pengurusan Bencana Negara berkata seramai 3,115 orang kini berteduh di pusat perlindungan selepas ribut tropika Tino melanda kawasan terbabit, namun sejumlah mangsa dilaporkan kembali ke kediaman masing-masing apabila mendapati kesan kemusnahan tidak seteruk seperti dijangka sebelum ini.

Pegawai kanan di daerah utara, Uraia Rainima berkata mangsa mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara kerana bimbang dengan kesan hujan lebat yang berlanjutan berikutan ribut tropika Tino.

“Kita tahu mereka pergi ke EC (pusat pemindahan) susulan amaran yang dikeluarkan dan bimbang dengan hujan lebat, tetapi berdasarkan maklumat, sebahagian mereka sudah kembali ke rumah masing-masing.

“Pulau Taveuni dengan jumlah penduduk seramai 19,000 orang sebelum ini dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Sementara itu, polis melaporkan bahawa usaha mencari dan menyelamat dua individu yang dibawa arus ketika cuba menyeberang kawasan ditenggelami air, petang Khamis lalu masih diteruskan.

“Setakat ini belum ada kematian lain dicatatkan,” katanya. – AFP