Rumah tangga yang dibina kali kedua hanya mampu bertahan selama 5 tahun sahaja, penyanyi kumpulan OAG, Radhi mengaku sukar berdepan dengan perceraian dan hampir kemurungan selepas perpisahan tersebut.

Menurut Radhi, perceraian tersebut memberi kesan besar dalam dirinya kerana hidupnya berubah secara langsung. Namun, Radhi meluahkan rasa syukur ada rakan yang tampil membantu dan mengikuti jemaah tabligh untuk mencari kekuatan diri.

 

 

 “Siapa tak sedih kalau bercerai dan sememangnya saya sangat tertekan. Bayangkan tiba-tiba rumah tiada orang lain dan hanya tinggal saya seorang. Selepas bercerai, saya hampir tidak tahu bagaimana nak teruskan kehidupan. Namun, saya berusaha berdoa dan mendapatkan petunjuk daripada Allah.
 

“Saya ada mengikut jemaah Tabligh berdakwah dan mereka banyak membantu. Ketika itu saya merasakan Allah menghantar bantuan kepada saya. Alhamdulillah ketika bersama mereka, saya menerima ujian berat itu. Ini semua urusan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Radhi berkata dia reda dengan hak penjagaan anak dan tidak menyalahkan pihak bekas isteri. Namun, Radhi berharap suatu hari nanti dia dapat tinggal bersama anak-anaknya semula dan mahu menjaga mereka seperti sebelum ini.

“Anak sangat penting buat saya tapi tak boleh salahkan pihak bekas isteri mengenai hak penjagaan. Saya reda kalau jarang dapat dan tak mahulah mengganggu mereka.

Memang saya dibenarkan berjumpa anak saya, tapi itulah, tak puas. Saya teringin juga nak bawa mereka balik dengan saya dan tidur memeluk mereka,” katanya.

Terdahulu, Radhi mendirikan rumah tangga dengan Nur Syahira Ayu Zahiri 14 April 2014 kemudian disahkan bercerai dengan talak satu pada 25 Mac tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3 tahun.