Penduduk di bandar Kangaroo Island, Australia diarahkan berpindah pada Khamis bagi membolehkan anggota bomba melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran hutan.

Bandar Parndana merupakan bandar kedua yang diarahkan berpindah susulan kebakaran hutan yang dilaporkan semakin memburuk.

Segala aktiviti kebakaran kini diharamkan di daerah tersebut susulan suhu meningkat yang sekali gus meningkatkan kemungkinan penularan kebakaran hutan.

Sebagai langkah berjaga-jaga pihak berkuasa turut menggesa penduduk sekitar Vivonne Bay untuk berpindah kerana khuatir tidak dapat menyelamat kediaman mereka.

Setakat ini, kebakaran hutan yang melanda di tenggara Australia menyebabkan 26 maut sejak September lalu dan lebih dua ribu kediaman turut musnah.

Susulan kebakaran hutan yang tidak reda, Perdana Menteri Scott Morrison dikritik kerana didakwa mengurangkan tenaga kerja untuk menangani kebakaran hutan yang melanda.

Sementara itu, amaran kecemasan masih dikekalkan di kawasan kebakaran hutan yang mengancam nyawa seperti di Baldivis, kira-kira 40 kilometer dari selatan Perth di Australia Barat..

Kira-kira 150 anggota bomba dikerahkan bagi memadam kebakaran yang berlaku pada Khamis.

Malah anggota bomba turut menggunakan kaedah bom air di beberapa kawasan.
Kebakaran terbaharu itu menyebabkan lebih 300 hektar terbakar ditambah dengan keadaan angin kencang.

Api turut marak di beberapa kawasan di daerah New South Wales, Victoria dan Tasmania.

Kebakaran hutan yang melanda Australia disifatkan sebagai peringatan buat negara-negara lain akibat daripada pemanasan global