Tindakan pelakon dan penyanyi berbakat, Naim Daniel menggunakan tanda pagar #sembahnaim bagi mempromosikan single terbarunya berjudul Sembah dipersoal segelintir netizen kerana menganggap tanda pagar itu tidak sesuai digunakan dan mempunyai unsur-unsur pemesongan akidah. 

Namun, Naim menjelaskan tanda pagar tersebut digunakan bagi memudahkan pencarian di Internet dan media sosial oleh netizen tanpa sebarang niat untuk memesongkan akidah sesiapa.

“Sejak single pertama hingga single kelima, saya tak pernah wujudkan sebarang kontroversi kerana saya sendiri pun tak ada masa untuk itu. 

“Saya wujudkan tanda pagar itu untuk memudahkan pencarian di Internet dan media sosial sekiranya lagu itu dilancarkan kelak. Namun, tak sangka pula ada pihak yang berpendapat berbeza mengenainya,” kata Naim kepada Harian Metro. 

Tambah finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-34 itu, single terbarunya yang berjudul Sembah  bukanlah bermaksud untuk menyembah sesuatu kerana perkataan sembah juga boleh digunakan bagi maksud persembahan. 

Dalam pada itu, Naim berterima kasih kepada peminatnya yang tidak mudah melatah dan  memandang tanda pagar #sembahnaim dari sudut yang positif kerana faham apa yang cuba dilakukannya lebih-lebih lagi kerana dia juga menggunakan tanda pagar #sumpahnaim bagi lagu popularnya, Sumpah yang bakal berentap di AJL 34 nanti.

“Sembah tak bererti menyembah.  Ia juga membawa maksud persembahan dan jalan cerita dalam lagu ini bukanlah mengenai menyembah apa-apa.

“Tak semua orang menganggap tanda pagar #sembahnaim itu sebagai satu perkara negatif kerana ramai juga yang faham,” katanya lagi. 

Lagu Sembah ciptaannya bersama Ikkie itu akan dilancarkan secara rasmi selepas Naim selesai dengan pertandingan AJL 34 yang akan berlangsung pada 9 Februari akan datang. Lagu Sembah juga bakal menampilkan penampilan khas dari pemain gitar lagenda, Man Kidal. Mesti best!

 
 
 
View this post on Instagram

SEMBAH // ND featuring @man.keedal when should i release this one? #sembahnaim

A post shared by Naim Daniel (@naimdanielx) on

 Kredit Foto: Instagram @naimdanielx