Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok.

 

 

Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti poltik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Agong.

Perlantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri itu dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

 

 

Angkat Sumpah Pagi Esok

“Proses seterusnya ialah majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 10.30 pagi esok,” katanya.

“Seri Paduka bertitah bahawa proses perlantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir,” katanya.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan sebentar tadi. Baginda turut menzahir penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat, khususnya agensi kerajaan, keselamatan dan media.

Sumber: Berita harian