“Lafaz Hayya ‘Alassolah (marilah bersembahyang) akan diperlahankan di Wilayah Persekutuan”

Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19.

Cadangan itu juga telah disampaikan kepada wakil Istana Negara bagi menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tertakluk Kepada Keputusan Pihak Berkuasa Agama Negeri

Walau bagaimanapun, perkara berkaitan azan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini tertakluk kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

“Berhubung dengan azan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan Lain Berkaitan Azan Turut Dikemukakan

Jelasnya, antara cadangan lain berkaitan kaedah azan adalah:
 
Azan tetap akan dikumandangkan seperti biasa kerana ia adalah syiar Islam. Kedua, Setelah azan, mu’ azzin/bilal hendaklah berpesan, “Solatlah di rumah atau tempat kamu.” dalam Bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia. Ini bagi meraikan beberapa hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad. Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/208) menghukumkan sunat bagi muazzin untuk menyebut sedemikian selepas azan.

Katanya, berdasarkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Selasa, semua arahan yang dikeluarkan di peringkat negeri mestilah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun begitu, isu berkaitan agama Islam diselaraskan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri, katanya.

 

 

Kelonggaran Terhadap Pengurusan Jenazah Covid-19 Kerana Wujud Kemudaratan Kepada Nyawa Manusia

Berkenaan pengurusan jenazah korban COVID-19 yang beragama Islam, katanya, ia hendaklah dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu.

Kelonggaran itu diberikan kerana ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah, katanya.

Datuk Seri Dr. Zulkifli juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kes ke-178 dan kes ke-358 atas pemergian mereka. Pemergian mereka pada hakikatnya adalah tragedi yang memilukan buat negara.

Sekali lagi diingatkan supaya setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil langkah pencegahan seperti memakai topeng muka dan hand sanitizer sekiranya berada di tempat awam. Tindakan kuarantin diri amat digalakkan supaya dapat mengawal diri daripada dijangkiti wabak ini. 

Untuk maklumat lanjut dan info serta perkembangan terkini, korang boleh saksikan di TV3 dan Youtube Buletin Utama.

Xtra careful guys!