Kebiasaannya kita lihat api lilin berwarna kuning, api dapur berwarna biru manakala api dari unggun pula berwarna merah atau oren. 

Hal ini berlaku disebabkan perbezaan bahan yang terbakar mempengaruhi warna api yang terhasil. Menurut laman Sciencing, api yang lebih panas membakar dengan lebih tenaga dan mempunyai pelbagai warna berbanding api yang lebih rendah suhunya.

Fakta ini membantu ahli astronomi untuk menentukan suhu dan komposisi bintang yang jauh.

Berikut merupakan warna api mengikut lingkungan suhu masing-masing;

  • Api merah : 500°C  sehingga 1000°C
  • Api oren : 1000°C   sehingga 1200°C
  • Api kuning : 1200°C  sehingga 1400°C
  • Api putih : 1300°C   sehingga 1590°C
  • Api biru violet : 1500°C  hingga 2000°C

Api berwarna putih merupakan api paling panas yang terhasil dalam pembakaran bahan organik diikuti kuning, oren dan merah.

Bagi pembakaran bahan bukan organik seperti gas dan bahan kimia, suhu api biru lebih tinggi daripada api putih. Semakin banyak warna putih pada api tersebut, semakin rendah suhunya manakala warna biru menandakan sebaliknya.

Menariknya, api berwarna warni sebenarnya boleh dihasilkan menggunakan bahan kimia. Misalnya, kuprum sulfat, borax dan asid borik digunakan untuk menghasilkan api berwarna hijau manakala api ungu dihasilkan menggunakan sebatian kalium bukan toksik.

Sumber: https://sainsandpseudosains.wordpress.com/ Reference.comSciencingThoughtCo