USAHAWAN tersohor dunia, Jack Ma mendermakan 100 juta yuan (RM58.92 juta) melalui yayasannya bagi membantu membangunkan vaksin baharu melawan koronavirus yang telah menjangkiti ribuan orang dan membunuh sekurang-kurangnya 170 mangsa.

Media sosial milik Yayasan Jack Ma berkata, 40 juta yuan (RM23.57 juta) akan diberikan kepada dua buah organisasi penyelidikan kerajaan China.

“Baki daripada wang tersebut akan digunakan untuk menyokong langkah pencegahan dan rawatan,” katanya memetik laporan SBS News, hari ini.

Ia susulan pengumuman syarikat yang diasaskan Jack Ma, Alibaba, pada Sabtu lalu iaitu membangunkan dana sebanyak 1 bilion yuan (RM59 bilion) bagi membeli bekalan perubatan untuk Wuhan dan seluruh wilayah Hubei.

Selain itu, Alibaba turut menawarkan kepakaran komputer kepada organisasi penyelidikan saintifik untuk menjalankan kajian merawat atau vaksin.

Pelaburan itu dibuat susulan kejayaan saintifik Australia yang berjaya mencipta koronavirus di dalam makmal sebagai langkah membangunkan vaksin.

Kajian dari Institut Peter Doherty Melbourne Untuk Jangkitan dan Imuniti itu merupakan penyelidikan pertama dibangunkan di luar China.

Ia akan dikongsi dengan pakar makmal lain yang bekerjasama rapat dengan Organisasi Kesihatan Dunia di Eropah termasuk makmal-makmal di Australia.