Personaliti radio dan pelawak, Issey Fazlisham tiada masalah memikul tanggungjawab sebagai seorang ‘bapa segera’ apabila mengahwini kenalan lama dari zaman sekolah, Noor Aimi Mohamed Jamil, yang merupakan seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak yang berusia empat hingga lapan tahun, pada 22 Disember lalu.  

Baca: Issey Pilih Rakan Sekolah, Akhiri Zaman Duda Tak Lama Lagi

Issey yang pernah berkahwin sebelum ini tetapi berpisah dengan bekas isteri pada 19 Mac 2015 tidak pernah mempunyai cahaya mata sendiri dan dia berharap dia mampu memikul tugas menjaga ketiga-tiga anak tirinya itu dengan baik, malah meluahkan rasa seronok apabila dapat menghantar mereka ke sekolah. 

“Jujurnya, saya seronok apabila berpengalaman menghantar anak ke sekolah.  Begitupun, saya akui masih dalam proses pembelajaran.  Maklum sahaja, ia perubahan drastik untuk saya yang melangkau beberapa langkah untuk bergelar bapa. 

“Saya sudah cuba rapat dengan mereka sejak belum berkahwin.  Agak susah sebenarnya masing-masing mahu menerima kehadiran saya kerana bapa mereka meninggal dunia akibat kemalangan. Jadi, mungkin mereka masih dalam proses mahu menerima.  Alhamdulillah, setakat ini baik-baik sahaja,” katanya kepada BH Online. 

Tambah Issey lagi, dia tidak kisah terpaksa berulang-alik pada setiap minggu untuk bersama keluarga di Kota Bharu, Kelantan. 

“Isteri saya akan turun ke ibu kota dua minggu sekali dan setiap hujung minggu pula, saya akan balik ke sana. Ia memang agak memenatkan, tetapi kita tengoklah dahulu bagaimana keadaannya. 

“Kalau isteri tidak menetap di Kelantan, mungkin agak susah untuk saya balik kerana mak sudah tiada.  Jadi apabila ada isteri di sana, saya ada alasan kukuh untuk pulang,” katanya lagi. 

Baru-baru ini sewaktu sesi persekolahan tahun 2020 dibuka, Issey memuat naik foto menerusi satu entri di Instagram di mana dia menghantar anak-anak tirinya ke sekolah dengan kapsyen “Hantar anak sekolah. Fasa baru dalam hidup. Aku dah langkah beberapa step. Banyak yang dah tertinggal. Tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi ayah yang baik.”

Kredit Foto: Instagram @isseyfazlisham