Dek kerana ditegur melalui mesej peribadi di akaun Instagram miliknya, pelakon Hafreez Adam terpanggil untuk berkongsi tangkapan skrin mesej  itu menerusi satu entri di mana dia memuat naik mesej tersebut buat tatapan umum. 

Mesej yang dihantar oleh seorang ‘Datin’ seolah-olah memperlekehkan usaha Hafreez yang mencari pendapatan dengan membuka gerai kecil-kecilan iaitu menjual char kuey teow sebagai pendapatan sampingan. 

“Kalau tak berlakon kerja dia gerai char kuey teow je. Susah lah..pergilah belajar degree, sekurang-kurangnya ada ilmu pengetahuan.  Muda-muda mesti belajar, jangan buang masa,” tulis ‘Datin’ tersebut. 

Bagaimanapun, Hafreez atau nama penuhnya Hafreez Adam Aizat bin Zahalan (29) tidak melatah dengan teguran itu malah masih mampu menjawab dengan tenang. 

“Je? Tetapi saya pandang dari sudut positif.  Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah bagi. 

“Sekurang-kurangnya Allah bagi jalan untuk saya tolong keluarga juga.  Muda-muda ni lah kena kerja keras juga. Nanti jemput datang ke gerai saya ye Datin.  Saya belanja char kuey teow,” balas Hafreez. 

Dalam pada itu, pelakon Bila Hati Berbicara itu menasihatkan anak-anak muda yang lain supaya jangan berputus asa dan jangan malu dalam mencari rezeki halal asalkan tahu niat masing-masing. 

“Abe cuma nak pesan pada anak-anak muda yang lain.  Jangan putus asa dan jangan malu dalam mencari rezeki. Asalkan korang tahu niat korang.

“Kerja untuk keluarga dan masa depan korang, bukan untuk dibandingkan dengan rezeki orang lain. Rezeki masing-masing,” tulisnya di dalam kapsyen. 

Meninjau ke ruangan komen, ramai pengikut yang menyokong kenyataan Hafreez dan ada yang berkata ijazah bukan penentu segala-galanya kerana masih ramai yang mempunyai ijazah tetapi tidak dapat pekerjaan. 

Di samping itu ada juga yang meluahkan rasa bangga kerana Hafreez berusaha untuk mencari rezeki yang halal dan memperbaiki kehidupannya walaupun dengan membuka gerai makanan. 

Buat yang tak tahu, lokasi gerai char kuey teow Hafreez adalah di Enjoy’s Corner, Desa Melawati, Kuala Lumpur. Cuba jangan tak cuba!

 

 Kredit Foto: Instagram @hafreezadam