Penyanyi lagu Kisah Cinta Kita, Hafiz Suip yang berjaya mara ke final Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-34 selepas tiga tahun menanti, tidak dapat menyembunyikan debarannya apabila berpeluang untuk kembali beraksi di pentas majlis anugerah yang berprestij itu. 

Bukan kaleng-kaleng, Hafiz pernah dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik AJL selama tiga kali tetapi kali ini dia enggan terlalu berharap. 

“Saya anggap kesempatan untuk kembali bersaing sebagai bonus.  Mungkin wajah saya kelihatan tenang, namun hanya Tuhan yang tahu debaran yang bakal dilalui. 

“Biarpun sudah ada pengalaman, ia tidak memberikan saya kelebihan kerana sesiapa sahaja yang bertanding pasti akan mengalami perasaan itu. 

“Saya hanya berusaha memberikan yang terbaik, selebihnya saya serahkan pada rezeki,” kata Hafiz kepada BH Online. 

Lagu Kisah Cinta Kita dicipta oleh Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala lirik ciptaan oleh Datuk A. Aida adalah salah satu lagu yang popular tahun 2019 dan kerap dimainkan di corong radio. 

Hafiz yang sedang menanti kelahiran anak keduanya Februari tahun depan menyifatkan pemilihan lagu Kisah Cinta Kita ke pentas final AJL sebagai menumpang rezeki anak. 

Juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu tetap meluangkan masa membuat persiapan menjelang kemuncak AJL 34 yang juga jatuh pada Februari depan walaupun perlu memberi perhatian pada isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah dan melengkapkan persiapan bagi menyambut kelahiran bayi mereka. 

“Buat masa ini, saya belum membuat sebarang perancangan mengenai konsep persembahan pada malam itu nanti.  Namun, saya berazam memberikan sesuatu yang berbeza supaya peminat dapat melihat kematangan Hafiz Suip sebagai penyanyi,” katanya. 

AJL 34 juga menyaksikan persaingan menarik apabila ia bakal menemukan rakan seperjuangannya dari Akademi Fantasia dahulu iaitu Hazama & The Penglipurlara dan Akim & The Majistret. 

“Selepas tiga tahun tidak beraksi di pentas AJL, saya teruja dapat kembali.  Lebih seronok kerana Hazama dan Akim turut ada bersama, terasa seperti ‘reunion’ pula,” katanya yang pernah berentap dengan dua penyanyi itu pada kemuncak AJL 31. 

Sumber Foto: Instagram @hafizsuip

Sumber: BH Online