Teknologi sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Namun, adakah perkembangan itu beri manfaat kepada anak-anak anda? Beberapa tahun lalu, di mana kebanyakan rumah mengupah penjaga dalam pembesaran anak-anak, menggantikan ibu bapa yang sibuk bekerja, tetapi kini boleh dilihat seolah-olah gajet sudah mula mengambil alih tugas tersebut.

 

Secara umumnya, teknologi kerap diperbaharui untuk kebaikan manusia jika kita manfaatkan dengan cara yang betul. Kesedaran ibu bapa tentang hal ini kurang diambil peduli hanya kerana ingin memudahkan mereka mengawal tingkah laku anak-anak di dalam mahupun luar rumah. Penerapan teknologi kepada anak-anak kecil tidak boleh dipandang remeh dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Hal ini disebabkan kesilapan di peringkat awal yang menerapkan teknologi dalam pendidikan awal kanak-kanak, kini menjadi sukar dalam proses pembetulan semula. Ada golongan ibu bapa yang merasakan pendedahan gajet di usia muda ini bagus dan membantu anak-anak menjadi lebih pintar. Apakah benar mereka lebih pintar? Atau hanya sekadar nak bagi mereka ralit saja?

Pada dasarnya kelihatan begitu sebab kanak-kanak dikatakan dapat mempelajari dan memahami penggunaan gajet dengan cepat. Mereka juga dapat mengenal pasti fungsi aplikasi dan kekunci yang terdapat pada gajet. Namun, ada kajian yang menunjukkan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun yang dibiarkan begitu lama terdedah dengan gajet ini akan mengalami kesan negatif yang menggangu perkembangan bahasa, cara membaca serta ingatan memori mereka.

Secara tidak langsung, kesannya juga akan menggangu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa. Peringkat awal tumbesaran mereka ini sangat penting dan harus diberikan perhatian. Pada jangka masa ini kanak-kanak harus diajar membentuk tingkah laku dan membina keyakinan diri.

Perkembangan anak-anak boleh dilihat daripada aktifnya mereka berinteraksi dengan ibu bapa atau penjaga dan juga sebanyak mana mereka melihat interaksi itu berlaku. Semakin kurang perbualan anak-anak dan ibu bapa, semakin kuranglah pembelajaran perkataan baru. Semakin kurang jugalah perkara berfaedah diserap ke otak mereka. Antara sebab ramai anak lambat bercakap juga adalah kerana kurangnya perbualan.

Otak kanak-kanak perlu disuap dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Apa yang dipaparkan dan ditunjukkan kepada mereka, begitulah cara menggambarkan perkembangan pemikiran itu berlangsung.

Bukanlah nak mempertikaikan teknik ibu bapa dalam hal perkembangan anak-anak ini, tetapi jauh lebih banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu rangsangan positif pada minda mereka. Tidak salah untuk mendapat pendedahan daripada gajet, cuma jangan menyalahgunakan teknologi ini sahaja. Kanak-kanak masih kecil, mereka hanya menurut kata-kata orang dewasa.

 

Jangan amalkan kebiasaan untuk jadikan gajet sebagai “babysitter” kepada anak-anak anda. Lebih baik jika mereka kerap didedahkan kepada buku ataupun banyakan komunikasi dan interaksi bersama ibu bapa.

 

Sumber: Awal