Gara-gara sebuah entri di media sosial mengenai jenama snek bilis, nama pelawak dan pelakon, Abon menjadi topik perbualan netizen sejak semalam.

Menurut kenyataan pengguna akaun Twitter, AMiRaremiR, dia mendakwa Abon telah menampal gambar di paket snek bilis Crunch Krups tanpa keizinan pemilik jenama berkenaan.

Aku up twitt ni bukan apa…sebabnya aku kesian kat kawan aku @crunchkrups sebab dia owner betul terhadap produk tu dan aku nak bagi semua tau yg kawan aku lah ownernya. Aku mintak maaf kalau apa aku buat ni buat orang tak senang or salah,” tulisnya.

Sementara itu, Abon ketika dihubungi Xtra menjelaskan perbincangan telah dilakukan dengan pemilik Crunch Krups, Yusoff Faiz sebelum gambarnya ditampal pada produk snek bilis itu.

“Ada sedikit kekeliruan di sini. Sebelum ini, saya dan pemilik Crunch Krups ada bertemu dan dia bersetuju untuk menggunakan wajah saya pada produk berkenaan. Tetapi jangan salah faham, saya bukan duta jenama ini. Ini dibuat atas persetujuan bersama. 

“Saya pelik bagaimana isu ini boleh timbul sedangkan pihak HQ Crunch Krups turut mempromosikan snek bilis yang terpampang wajah saya di atasnya. Ingin saya tegaskan, saya hanya menjual Crunch Krups dan bukan pemilik asal jenama ini.

“Mungkin ada yang keliru dengan laporan memberitahu saya merupakan tokey snek bilis di salah sebuah akhbar, baru-baru ini. Apa yang salahnya? Saya memang penjual snek bilis cuma saya bukan pemilik jenama Crunch Krups,” jelasnya.

Sementara itu, Abon juga memohon individu yang memuatnaik kenyataan berkenaan di laman Twitter agar menarik balik entri itu.

“Saya tidak mahu panjangkan cerita. Kalau ikutkan hati, saya boleh saman malu terhadap individu itu.

“Kalau boleh saya tidak mahu memanjangkan isu ini cuma saya harap individu itu menarik balik kenyataanya. Saudara Yusoff Faiz yang merupakan pemilik jenama ini tahu mengenai penggunaan wajah saya pada paket snek bilis Crunch Krups. Tiada isu berbangkit,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, pelawak yang juga pemilik nama sebenar, Sharizan Ahmad mengumumkan dia kini sibuk sebagai usahawan yang menjual roti sarang lebah yang dinamakan Roti Abon.