MENTERI Kanan (Keselamatan) , Dato Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan memberi penutup hidung dan mulut secara percuma kepada 8.3 juta isi rumah di Malaysia. 

Hal ini dihebahkan sendiri oleh beliau menerusi satu sidang media khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan hari ini. Pengagihan penutup hidung dan mulut ini akan dilakukan secara berperingkat dengan berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengagihan ini akan didahulukan kepada golongan yang sewajarnya mendapat penutup muka dan hidung terlebih dahulu. 

Untuk pengetahuan, topeng yang diagihkan secara percuma ini bukanlah didapati secara percuma seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya pihak kerajaan telah membelinya dari negara luar. 

Undang-undang diperketatkan kepada rakyat yang masih ingkar PKP

Ismail Sabri juga menjelaskan sebarang sekatan tidak akan dilakukan kepada penghantar makanan malah golongan ini akan diberikan laluan yang lebih mudah. Menerusi sidang media itu lagi, beliau juga memberitahu sebanyak 110 tangkapan telah dilakukan oleh pihak polis semalam susulan perubahan cara polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujarnya, tindakan tegas ini merupakan permintaan daripada rakyat sendiri. Beliau menerima banyak mesej daripada rakyat yang mahukan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan diberi hukuman yang lebih tegas. Mereka tidak mahu lima peratus rakyat yang degil ini memberi kesan kepada 95 peratus rakyat yang akur dengan PKP. 

Undang-undang pun dah makin ketat ni, jadi duduk di rumah diam-diam ya.