“Bukan jual mahal tapi saya belum sedia ketika itu,” kata pelakon Nazim Othman yang memilih untuk berlakon filem pula pada tahun hadapan.

Nazim ketika ditemui di sidang media drama Suri Katrina mengaku tidak pernah menyesal menolak beberapa tawaran filem sebelum ini.

“Saya percaya kepada kesesuaian masa. Sekarang saya sudah sedia untuk berlakon filem pula.

“Saya akui pernah menolak 20 tawaran berlakon filem namun saya tidak pernah menyesal dengan tindakan sebelum ini. Bagi saya, untuk berlakon filem, beberapa syarat perlu diambil kira,” katanya kepada Xtra.

Pelakon berusia 35 tahun ini memberitahu untuk berlakon filem, dia menetapkan skrip dan bayarannya perlu lebih ‘besar’ berbanding drama.

“Skrip harus bagus, produksi juga harus mantap. Semuanya harus teratur. Sekiranya saya ditawarkan dua minggu sebelum sesi penggambaran bermula, saya mungkin tolak tawaran itu.

“Bukan terlalu memilih tetapi bila bekerja, saya akan beri seratus peratus komitmen. Jadi saya hanya akan beri yang terbaik dan berharap pihak produser dan produksi juga memberikan yang serupa,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Nazim dan Ayda Jebat berjudul Cindai bakal bersiaran pada November ini menerusi slot Samarinda di TV3.

Oleh: Fas