Pelakon Fikry Ibrahim kini melangkah setapak lagi ke hadapan apabila memulakan perniagaan penghantaran makanan atas talian, Go Eat.

Diteraju bersama Dato Khairil Muzamil, Fikry memaklumkan aplikasi ini dibangunkan bagi meningkatkan kompetensi anak muda Malaysia bersaing di peringkat global serta membawa nama Malaysia sejajar dengan kemajuan negara lain.

“Apa yang membuatkan Go Eat berbeza dengan aplikasi lain ialah kami menyediakan Home Cook iaitu masakan dari rumah yang boleh dibeli di atas talian.

“Bayangkan jika tiba tiba anda terasa nak makan asam pedas masakan dari rumah, Go Eat boleh bantu merealisasikannya,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran Go Eat di Damansara Perfomance Art Centre (DPAC), Sabtu lalu.

Bercakap mengenai misi Go Eat, Fikry berharap usaha ini dapat membantu suri rumah yang mempunyai teknik masakan hebat untuk menjana wang.

“Dari hobi boleh tukar ke kerjaya. Bagi sesiapa yang suka memasak dalam masa sama mahu menjana pendapatan, anda boleh mendaftar di bawah aplikasi Home Cook. Dalam masa sama, perut kenyang dan boleh menguntungkan,” katanya.

Go Eat merupakan satu aplikasi digital keluaran sulung oleh satu syarikat bumiputera Malaysia, Go Eat Sdn Bhd (1326623-X).

Aplikasi ini mula dibangunkan pada pertengahan tahun 2019.

Sabtu lalu, 18 Januari 2020, aplikasi ini telah siap 100% dan dilancarkan dengan penuh gilang-gemilang meraikan 200 tetamu jemputan dari seluruh negara.

Aplikasi digital Go Eat ini merupakan aplikasi servis penghantaran makanan yang pertama dibangunkan oleh anak tempatan di Malaysia.

Dibarisi oleh keseluruhan anak-anak tempatan yang menjadi tulang belakang pengurusannya, Go Eat tampil gah dengan warna tema Hitam dan Kuning melambangkan imej produk dan hasil tangan rakyat Malaysia.

Aplikasi ini juga menyediakan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor logistik, makanan dan minuman serta perniagaan dari rumah iaitu “Home-cook”.

Aplikasi Go Eat boleh di muat-turun di kedua-dua platfom iaitu Android Playstore dan IOS Appstore bermula 18 Januari 2020.

Menggunakan pendekatan aplikasi mesra pengguna, Go Eat menyasarkan jumlah muat turun sehingga mencecah 1,000,000 pengguna dalam tempoh 6 bulan operasi.

Hadir ke pasaran digital bersama slogan “Lets Go Eat”, aplikasi ini dilihat mampu mencabar kedudukan aplikasi digital yang sedia ada.