Penyanyi yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Andi Bernadee mengakui berdepan pelbagai cabaran bagi merealisasikan impian untuk menghasilkan single terbaru berjudul Hello bersama dengan Ismail Izzani. 

Salah satu cabarannya adalah penggambaran video muzik single tersebut yang memakan masa lebih 26 jam untuk dihasilkan. 

Walaupun penggambarannya memakan masa yang panjang, Andi berkata secara keseluruhan, dia amat berpuas hati dengan hasil video muzik tersebut. 

“Kami sebenarnya sudah lama merancang untuk merakamkan single bersama-sama.  Rasanya, sejak Ramadan tahun lalu lagi kami berbincang mengenai perancangan itu. 

“Akhirnya, masing-masing berjaya mencuri sedikit waktu untuk memasuki studio merakamkan lagu ini.  Rakaman juga terpaksa dilakukan secara berasingan kerana kesibukan kami dengan pelbagai aktiviti seni.

“Bagi menghasil video muziknya pula, kami sekali lagi berdepan cabaran apabila ia memakan masa sehingga 18 jam pada hari pertama penggambaran.  Keesokannya, ia disambung lagi selama kira-kira lapan jam,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Donde ini kepada BH Online.  

Hello ciptaan Ismail Izzani, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga menampilkan kelainan apabila menyajikan video muzik berbeza bagi saluran YouTube Warner Music Malaysia, yang menaungi Andi, dan World Peace Entertainment bagi Ismail Izzani. 

Oh, dua video muzik berbeza…sebab itulah penggambaran mengambil masa yang lama? 

Kredit Foto: Instagram @andibernadee